Thursday, 23 May 2019

Bayar Fidyah

Anonymous | 16:47 | 2Comments |
Bismillah . .

Assalamualaikum . . 

Wajib Bayar Fidyah Jika Tak Sempat Ganti Puasa Ramadhan Lalu, Cara Betul Untuk Buat Kiraan Jumlah Fidyah Yang Perlu Dibayar


Pasti masih ada antara kita umat Islam diluar sana yang masih belum menggantikan puasa lepas dan puasa lalu yang pernah ditinggalkan. Tahukah anda bahawa puasa bulan Ramadhan adalah wajib, jika kita tinggalkannya, wajib untuk diganti pada hari bulan lain sebelum Ramadhan akan datang tiba. Jika kita gagal menggantikan puasa lalu yang ditinggalkan selepas Ramadhan baru tiba, kita wajib membayar Fidyah.

Bagaimana handak kira jumlah Fidyah kita? Jom kita baca.

Dalam tahun 2017 Masihi bersamaan 1438 - 1439 Hijriah.

Secupak beras = 675 gram (RM1.80).
Satu gantang bagdad = 2.7kg.

MENJELANG bulan puasa, satu perkara yang selalu menjadi kemusykilan kaum wanita adalah kiraan fidyah kerana tidak sempat menggantikan puasa. Bagi yang ragu-ragu tentang perkara ini berikut di kongsi penjelasan cara kiraan fidyah yang diambil dari Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Tapi sebelum itu baca juga penjelasan mengenai fidyah untuk pengetahuan kita.

Fidyah
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

Hukum fidyah
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Prosedur membayar Fidyah
Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau pejabat zakat negeri. Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.


Sebab-sebab dikenakan fidyah

1. Uzur menunaikan puasa wajib.
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

Contoh :
Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialysis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira sebaik habis Ramadan tersebut pada kadar :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
30 hari X RM1.80 = RM54.00

2. Perempuan hamil.
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

Contoh :
Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, Cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

10 hari X (3 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM36.00 (FIDYAH)

3. Ibu yang menyusukan Anak.
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

Contoh :
Puan Hani mempunyai bayi yang baru berusia 3 bulan dan menyusu penuh. Sepanjang bulan Ramadan, beliau tidak mampu berpuasa selama 15 hari kerana kekurangan susu. Beliau hanya mampu menggantikan puasa ini selepas 2 tahun. Fidyah yang dikenakan ke atas Puan Hani sebaik sahaja habis Ramadan pada tahun itu ialah :

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

15 hari X RM1.80 = RM27.00

Fidyah yang dikenakan kepada Puan Hani kerana lewat menggantikan puasa ialah :

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

4. Orang yang telah meninggal dunia.
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Contoh :
Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

13 hari X RM1.80 = RM23.40

5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’).
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Contoh :
En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun.
Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah :

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

3 hari X (10 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM48.60 (FIDYAH)

Taksiran fidyah
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = Fidyah.

Kadar bayaran fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.

Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM16.20

*Jumlah hari puasa yang wajib di qada tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada semua.

Nota: Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun

*Perlu diingat, walaupun sudah membayar fidyah, puasa tetap kena ganti, wajib..

Kenali Jenis Susu dalam Tin

Anonymous | 16:32 | 4Comments |
Bismillah . . 

Assalamualaikum . . 



Kredit: Thiru Kanesh, Nutritionist

Lepak mamak pekena teh tarik, kopi tarik? In-trend dengan bubble tea, teh ais kaw cincau? Atau sedap lagi ABC bawah pokok?

Ya, memang rasa sedap, manis dan kaw tapi tahukah apa yang diletakkan dalam minuman itu? Susu kan?

Betulkah ‘susu’? Ataupun susu segar? susu cair? susu pekat? krimer? atau krimer manis? Ataupun panggil ja semuanya ‘susu tin’?

“Lorhhh ada macam2 jenis ka?” Ingatkan semua ‘susu dalam tin’ tu sama ja.

Salah kefahaman tu. Hakikatnya, kebiasaannya tak guna susu tapi akan digunakan krimer atau krimer manis sahaja. Krimer ni apa pulak? Rujuk ni:

1. Susu Sejat Penuh Krim (evaporated full cream milk)
Susu yang telah disejatkan airnya, lebih dikenali sebagai susu cair oleh orang kita.

2. Susu Pekat Manis Penuh Krim (sweetened condensed full cream milk) 
Susu yang telah disejatkan airnya menjadi lebih pekat dan ditambah gula. Kebiasaanya ramuan utama bukan susu tapi GULA. Rujuk pada bahan pertama di senarai ramuan.

3. Susu Isian Sejat (evaporated filled milk)
Susu yang telah disejatkan airnya. Lemak dalam susu tu pula telah dikeluarkan dan diganti (atau senang cerita ‘diisi’) dengan minyak tumbuhan.

4. Susu Isian Manis (sweetened filled milk)
Sama seperti susu isian sejat dan ditambah GULA (gula adalah ramuan utama).

5. Krimer Sejat (evaporated creamer)
Ianya berasaskan minyak tumbuhan, selalunya minyak sawit yang telah diproses dan dilunturkan menjadi putih seakan susu. Juga terdapat dalam jenis serbuk (krimer kopi). Banyak digunakan dalam minuman pracampur/ 3 dalam 1, bubble tea, carrot ‘susu’, masakan, nasi minyak, kuih, dessert dan ABC.

6. Krimer manis (sweetened creamer)
Sama seperti krimer yang berasaskan minyak tumbuhan dan telah ditambah dengan GULA (kandungan gula adalah ramuan utama) dan biasa digunakan dalam minuman panas seperti teh tarik, sirap bandung dan sebagainya di kedai makan. Kalau lagi hipster - krimer yang berperisa (coklat, strawberi, karamel) makan ngan roti. Biasanya, krimer akan diberi nilai tambah dengan menambah mineral atau vitamin. Kuantiti yang ditambah tu jarang memberi impak baik berbanding GULA yang kita sedia tahu implikasi kesihatan jika diambil secara tidak terkawal.

Selama ini anda gunakan yang mana satu atau hasil yang menggunakan produk yang mana satu?

Kalau dirujuk Piramid Makanan Malaysia, hanya SUSU SEJAT PENUH KRIM (1 sajian = 2/3 cawan susu sejat) yang tergolong dalam kumpulan susu dan produk tenusu. Menurut Akta Makanan 1983 pula, krimer tergolong di bawah kategori bahan pemanis (sweetening substance).

Jadi, tak hairanlah bila negara tersenarai dalam statistik negara paling obes dan mendahului carta bilangan pesakit kencing manis yang ramai sebab kerap dan banyak mengambil minuman/ makanan berasaskannya. Bangga? Fikirkan semula, amalkan kesederhanaan!

Nota: Kebiasaannya, susu diimport dalam bentuk pepejal susu dan lemak susu yang kemudiannya diproses/ dicampur semula ke bentuk cecair sebelum dipek untuk dijual (recombined milk). Jadi, pada label ramuan akan dilabel lemak susu, pepejal susu. Malah, ada krimer sejat/ krimer manis yang masih mengandungi pepejal susu, namun kandungannya tidak sebanyak minyak tumbuhan+gula yang menyebabkan produk tersebut tidak memenuhi kriteria perlabelan sebagai susu.

Apa pun, rajinlah baca label dan kenali jenis produk. Label produk mungkin berubah mengikut formulasi terkini.

—-
Rujukan: Akta Makanan 1983

Sumber : Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia