Monday, 17 June 2019

Tafsir Surah An - Nur, Ayat 43 - 44

S.K. | 11:24 | 2Comments |
Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum.

A043

Maksudnya : Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.


A044
Maksudnya : Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.

(Surah An - Nur, ayat 43 - 44)


Ayat ke 43 - 44 merupakan dalil tambahan mengenai keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. Dalam Tafsir Al - Maraghi, Allah s.w.t. menyatakan, "Wahai Rasul, perhatikanlah awan itu. Allah Taala mengiringi kekuasaan - Nya sebagai sesuatu yang diciptakan - Nya kemudian menyatukan bahagiannya yang terpisah sehingga terkumpul dengan sebahagian yang lain. Kemudian Allah menurunkan hujan dari celah - celah awan itu. Pada hujan itu ada butiran embun yang besar seakan - akan gunung. Kemudian dia menimpakan butiran - butiran itu kepada sesiapa yang dikehendaki dalam kalangan hamba - hamba - Nya. Kemudian dia memberi manfaat dan kebaikan yang setimpal atau menimbulkan bahaya yang dahsyat melebihi keperluannya. Dan membinasakan sesiapa sahaja yang dikehendaki. 

Di samping itu, awan itu juga mempunyai kilat yang menyambar dengan dahsyat dan cepat sehingga hampir - hampir menyambar penglihatan manusia. Dan keadaan ini merupakan dalil yang kuat dalam membuktikan kesempurnaan dan kekuasan Allah s.w.t. kerana telah melahirkan sesuatu yang berlainan dari sumber yang berlawanan iaitu mendatangkan api daripada air yakni kilat itu. 

Dalam ayat 43, Allah Taala mendatangkan ayat berbentuk pertanyaan yang bermaksud pemberitahuan. Kalau dilihat melalui sudut kajian sains, para ahli cuaca mengetahui cara pembentukan awan, struktur dan cara kerjanya setelah melakukan pelbagai bentuk kajian dan kajian - kajian itu dilakukan menggunakan pengamatan atau alat - alat teknologi terkini yang canggih. Maka, mereka boleh menceritakan proses pembentukan hujan tersebut melalui bantuan alat moden yang mereka gunakan seperti komputer, satelit, dan lain - lain. Di samping itu, mereka juga perlu belajar cara mengukur kelembapan udara, pergerakan angin, dan sebagainya. 

Jika kita tengok dalam Al - Quran, Allah telah menceritakan semuanya dengan jelas. Kita sebagai manusia seharusnya semakin tunduk apabila melihat, mengkaji kebesaran Allah Taala. 

2 comments:

💌 0617 Comments💬 ♥ Thank you lovely ♥